DOA PENUTUP 1430H

30 DZULHIJJAH

DOA AKHIR TAHUN HIJRAH



Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Ameen Ya Rabb Al Ameen...

Doa Buat Teman Yang Sedang Diuji

27 Dzulhijjah


Tahun hijrah 1430 yang kini tinggal beberapa hari lagi, inginku abadikan beberapa potong doa khusus buat temanku ini:

Beberapa hari yang lalu, saya sempat menziarahi seorang teman yang sakit di UHKL, PJ. Beliau telah beberapa tahun disahkan menghidap lung cancer. Keadaanya begitu lemah sekali. Susah untuk bernafas dan sentiasa berada di dalam bantuan ubat-ubatan.


Ya Allah Ar-Rahman Ar-Rahim
Engkaulah Tuhan Pencipta dan Pemilik Alam Semesta
Engkaulah Tuhan Pencipta dan Pemilik Sekelian Mahkluk
Tiada Tuhan Yang Layak di Sembah Melainkan Engkau Ya Allah

Ya Allah Ya Allah Ya Allah
Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang
Engkaulah Yang Telah Melantik Muhammad S.A.W Sebagai Rasul Akhir Zaman
Selawat dan Salam buat Ar-Rasul Muhammad S.A.W

Hambamu memohon kepadaMu ya Allah
Sesungguhnya hanya kepadaMulah hamba memohon doa
Sesungguhnya hanya kepadaMulah hamba memohon bantuan
Sesungguhnya hanya kepadaMulah hamba bertawakal

Hambamu mohon semoga dipermudahkan kesakitan yang menimpa temanku tersebut
Engkau yang menyembuhkan penyakit dan Menentukan segala ketentuan
Sembuhkanlah penyakit dan berikanlah ketentuan yang terbaik buat temanku itu, Ya Allah
Engkau berikanlah kesabaran dan ketabahan kepadanya dan keluarganya untuk menghadapi ujianMu ini.

Ya Allah Hambamu memohon keampunan di atas segala dosa dan perbuatan keji
Segala puji dan pujian untukMu Ya Allah
Selawat dan salam buat Rasulullah Muhammad s.a.w
Ameen Ya Rabb al amin

Sorotan 1430H - Bicara Takwa

21 Dzulhijjah

Kurang dari sepuluh hari 1430H akan menutupkan tirainya. Apa yang telah aku lakukan setahun hijrah yang lalu? Amal Soleh meningkat kah? Ilmu bertambahkah? Bagaimana dengan pelangaran perintah Tuhan dan dosa yang dilakukan, sudah bertaubatkah? Inilah diantara yang aku fikirkan.

Laman blog 1430h.blogspot.com ini sedikit sebanyak membantu saya menyorot beberapa peristiwa yang telah saya rakamkan di sini. Inilah yang cuba disorotkan sebelum blog ini ditutup pada akhir 1430H nanti, insyaAllah.

Peristiwa dan bicara persoalan Takwa adalah yang paling banyak di sentuh pada blog 1430H. Ya takwa adalah perkara yang sangat penting. Setiap kali Jumaat, ummat Islam diperingatkan berkenaanya. Kalau mahu jadi yang terbaik, maka hendaklah dengan takwa. Justeru secocoknyalah takwa sentiasa dipupuk dan diperlihara sebaik mungkin.

Diantara tajuk bicara berkenaan takwa di laman blog 1430H:

  • Seruan Takwa dan Kutbah Jumaat
  • Seruan Takwa 25 Safar
  • Seruan Takwa 2 Rabiulawal
  • Seruan Takwa 9 Rabiulawal
  • Seruan Takwa 16 Rabiulawal
  • Seruan Takwa
  • Cinta Allah dan Taqwa
  • Cinta Ibubapa dan Taqwa
  • Buku Taqwa di Pameran Buku Antarabangsa KL 2009 (KLIBF)
  • Seruan Taqwa di Masjid Taman Permata
  • Keberkatan dan Taqwa
  • Wabak H1N1
  • Ramadhan 1430 & Hijrah
Sebagai muhasabah diriku ini sendiri, takwa mungkin senang untuk dibicara dan dituliskan berkenaannya. Namun untuk memiliki sifat takwa ini secara hakiki bukanlah mudah dan memerlukan mujahadah. Bukan ketakwaan sekadar untuk dipamirkan dikalayak, tapi sifat takwa yang telah membudaya dalam diri sama ada terang atau gelap, sama ada senang atau susah, sama ada ramai atau sendirian, sama ada terbuka atau tertutup dan sama ada suka atau duka.

Semoga 1431H nanti ketakwaan terus dijaga dan dipertingkatkan.

Kejadian Gempa Bumi & Sunami

13 Shawal

Sudah lebih seminggu Ramadhan meninggalkan pergi. Pada bulan Shawal, sebagai mereka yang telah menjalani ibadah puasa dan membina ketaqwaan, buatlah satu azam baru. Ya! Satu azam, cita-cita dan semangat baru hasil dari latihan sepanjang Ramadhan yang lalu. InsyaAllah azam sebegini lebih bermakna dari azam yang diwujudkan sempena tahun baru umpamannya.

Beberapa hari ini, terjadi beberapa kejadian gempa bumi dan sunami. Yang terdekat dan terbaru terjadi di Padang Sumatra, Indonesia. Kesan gempabumi tersebut turut dirasai di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia.Dua gempa berukuran 7.6 & 6.3 telah memusnahkan ribuan bangunan dan meragut ribuan nyawa. Sesungguhnya semua kejadian adalah ketentuan Allah.

Kepada Allah jualah kita memohon perlindungan dan keselamatan dunia dan akhirat.

Ramadhan, Muhasabah & Kitab Al-Qur’an

26 Ramadhan

Beberapa hari sahaja lagi Ramadhan 1430 akan berakhir. Begitu cepat masa berlalu dan begitulah pendiknya kehidupan di dunia ini. Sedang kita berada di penghujung Ramadhan, seeloknya kita bermuhasabah dan bertanyakan diri; adakah Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun lalu? Adakah objektif ibadah puasa Ramadhan untuk menjadikan diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa dapat dicapai serta meningkat pencapaian kualiti melebihi tahun-tahun yang lalu? Sama-samalah kita fikirkan perkara ini.

Di dalam bulan Ramadhan, kita banyak membaca Al-Qur’an. Bertadarrus dan majlis khatam Al-Qur’an sering dilakukan di surau mahupun masjid. Ya, Al-Qur’an adalah salah satu fokus di dalam bulan Ramadhan, yang mana ianya diturunkan pada bulan ini. Menghabiskan bacaan seluruh al-Qur’an pada bulan Ramadhan menjadi satu ukuran pencapaian bagi saya. Dengan membaca Al-Qur’an sahaja sudah mendapat ganjaran pahala dari Allah; namun Al-Qur’an menyuruh supaya memikirkan isi kandungannya. Untuk meningkatkan kualiti hubungan kita dengan Al-Qur’an, maka hendaklah kita bertaddabur, memikirkan dan mengambil pelajaran dari Kitab Al-Qur’an .

Sebagai seorang yang terlibat dengan penerbitan buku serta pernah berurusan dengan pelbagai bentuk pengarang , saya memikirkan penghasilan buku atau Kitab Al-Qur’an ini. Ya, Al-Qur’an adalah Kitab Allah. Penciptanya atau pengarangnya adalah Allah Ta’ala. Bukan nabi Muhammad s.a.w kerana beliau adalah seorang tidak boleh membaca. Juga kerana perkara berikut yang ingin saya ketengahkan.

Cuba kita baca makna atau terjemahan isi kandungan Al-Qur’an yang diturunkan lebih 1430 tahun yang lalu. Kita akan dapati Pengarang Kitab Al-Qur’an ini bersumpah, mencabar, membuat ketetapan, mengkhabarkan perkara yang lalu dan hadapan, membicarakan sekecil-kecil kejadian sehingga sebesar-besar alam semesta bulan dan bintang, menceritakan kisah umat dan masyarakat terdahulu, menjanjikan balasan baik dan buruk, membawa berita gembira dan sedih, menyediakan undang-undang dan sistem dan banyak aspek kandungan yang lain.

Terdapatkah pengarang seorang manusia yang mampu dan berani menghasilkan karyanya seperti Al-Qur’an yang membawa mesej seperti di atas. Pastinya tiada manusia yang mampu menghasilkan karya sama ada berbentuk cereka mahupun bukan cereka. Tiada manusia yang berani bersumpah dan membuat penegasan seperti yang terdapat di dalam Al-Qur’an kerana manusia itu sendiri adalah lemah dan terbatas. Belum lagi kita melihat Al-Qur’an dari aspek bahasa dan tatabahasa. Malah Allah mencabar bukan seorang manusia malah seluruh kejadian alam, manusia, Jin, dan keseluruhannya bersatu untuk mencipta seperti Al-Qur’an, sekiranya mampu. Yang pastinya tiada yang mampu dahulu, kini dan selamanya selain Allah. Firman Allah:

“Apakah pantas mereka mengatakan dia (Muhammad) yang telah membuat-buatnya? Katakanlah, “Buatlah sebuah surah yang semisal dengan surah (Al-Qur’an) dan ajaklah sesiapa saja di antara kamu orang yang mampu (membuatnya) selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.” (Al-Qur’an:Yunus [10]:38).

Justeru, bila kita membaca ayat-ayat Al-Qur'an, perhatikanlah isi kandungannya dan yakinlah ianya adalah dari Allah, Pencipta kita.

Lailatul Qadar dan Seribu Bulan

20 Ramadan

Kini bulan Ramadan telah memasuki fasa 10 malam terakhir. Berdasarkan banyak hadis, Malam Qadar atau Lailatur Qadar terjadi pada salah satu malam di 10 hari terakhir Ramadan.

Al-Qur'an menyatakan, Malam Qadar adalah lebih baik dari seribu bulan (83 tahun +/-). Beramal pada satu malam Qadar darjatnya sama dengan seribu bulan. Solat sunat dua rakaat satu malam Qadar dinilaikan dengan solat sunat dua rakaat dikerjakan seribu bulan. Begitu juga bacaan Al-Qur'an, satu ayat al_quran dibaca di malam Qadar didarjatkan dengan bacaan satu ayat dikerjakan seribu bulan. Bayangkan ibadat khusus-khusus yang lain seperti sedekah, solat-solat sunat, tahajut, berjihad, menuntut ilmu dan berbuat baik kepada ibubapa, isteri/suami dan keluarga. Lakukan sekali di malam Qadar sama darjatnya dengan dilakukan seribu bulan.

Inilah diantara kurnia dan rahmat Allah kepada umat Muhammad s.a.w, di dalam menyediakan bekalan amal untuk kehidupan di Akhirat.

Sebagaimana Allah menurunkan ayat iaitu wahyu pertama kepada nabi Muhammad s.a.w, ayat Iqra'...- Bacalah...; permulaan untuk beramal ibadat ialah dengan Ilmu. Dan Ilmu pula hendaklah di asaskan di atas ketauhidan kepada Allah.

Beramalah dengan amalan yang afdhal berdasarkan ilmu yang shahih. Di antara amalan yang afdhal ialah melakukan amal dengan istiqomah walaupun sedikit.

Allahu'aklam

Rayuan Ramadhan 1430



3 Ramadhan

"Rayuan Ramadhan JIM 1430H: Tajaan berbuka puasa dan sedekah untuk 60,000 umat Islam di 14 negara"

Jalan-jalan menuju ketaqwaan.



Hari ini Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah secara rasminya melancarkan program tahunan Rayuan Ramadhan 1430H, melalui sidang media yang diadakan di Kompleks JIM Taman Melawati. Program ini pada Ramadhan tahun lalu 1429H, telah memberikan sumbangan kepada 40,000 umat Islam di 10 negara.

Pada Ramadhan 1430H tahun ini, JIM mensasarkan 60,000 orang penerima di 14 buah negara iaitu Palestin, MIndanao, Indonesia, Rohingya, Vietnam, Kemboja, Selatan Thailand, Sri Lanka, Sudan, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, Iraq dan Turkestan Timur.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi Sekretariat Program Rayuan Ramadhan di talian 03-41089669 atau 03-41053159. Boleh juga layari rayuan http://rayuan-ramadhan.jim.org.my/blog/ atau emel ke ramadhan-qurban@jim.org.my

Sumbangan boleh dideposit ke akaun;

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA
BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD 1211 3010 005797
BANK MUAMALAT MALAYSIA BERHAD 1403 0000 391 713

Online di JIM e-bazaar;

http://jim.org.my/e-bazaar/index.php?main_page=product_info&cPath=6&products_id=16